SHAH ALAM – Pegawai perkhidmatan pendidikan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Nor Aidah Baba, 54, pada Januari 2021 didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebelum ini sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun (A) Pulau Carey, Kuala Langat mempengaruhi setiausaha dan bendahari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah bagi mengeluarkan wang sumbangan Mykasih Foundation berjumlah RM20,000 untuk kegunaannya sendiri.
Wanita itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM5,000 oleh seorang penjamin.
Wanita itu turut diperintah melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam sekali setiap bulan.
Tertuduh juga diarah supaya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Oktober ini.
Terdahulu, kes dikendali oleh pegawai pendakwa raya, Asmaa’ Zamri manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Nur Fadhilah Zainuddin.- MalaysiaGazette
















