Onn Hafiz mengumumkan insentif tambahan dalam sidang DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 62 ketua isi rumah (KIR) di Segamat yang terjejas akibat kejadian gempa bumi layak menerima bantuan maksimum RM3,000.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan itu bagi meringankan beban yang ditanggung selepas dikejutkan dengan beberapa siri gegaran lemah bermula 24 Ogos hingga 3 September lalu.

“Kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), bersetuju menyalurkan bantuan kepada 62 KIR yang terlibat dan telah membuat laporan polis.

“Walaupun gegaran itu kecil, saya faham akan kerisauan penduduk di situ apabila bumi yang kita pijak tiba-tiba bergegar,” katanya dalam Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat sebanyak 62 rumah, dua surau dan sembilan premis kerajaan dilaporkan mengalami kerosakan kecil.

Namun penilaian dilakukan mengesahkan semua bangunan ini masih selamat untuk digunakan, katanya.

“Selain itu, fasiliti penting milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), SAJ Ranhill dan Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) turut diperiksa,” ujarnya.

Hasil pemeriksaan mendapati semua sistem dan kemudahan asas terbabit berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti biasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip yang memaklumkan, penyerahan bantuan disalurkan kerajaan itu akan disampaikan kepada penerima, esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap berkata, pihaknya berharap semua pihak yang telah diberikan penerangan mengenai langkah menghadapi bencana itu untuk menyampaikan maklumat berkenaan kepada semua masyarakat.

“Insiden ini tidak pernah berlaku memang penduduk panik, tetapi kita sudah pesan supaya tidak panik dan ikut arahan pihak berkuasa.

“Kepada ketua jabatan, ketua kampung, penghulu mukim, pengetua, guru besar, yang hadir dan diberikan taklimat dan penerangan jika berlaku gegaran lebih besar, harap dapat sampaikan kepada semua masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast