Remaja perempuan berusia 15 tahun, Muhammad Loqman (baju hijau), Muhammad Amsyar dan Abdul Hakim (baju putih) didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki beusia 21 tahun di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang remaja perempuan dan tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium di Jelutong, pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Loqman Nasri, 22, Abdul Hakim Mohd Amin, 22, Muhammad Amsyar Md Asraf, 20, bersama remaja perempuan berusia 15 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Syazwan Aiman Muhammad Shahrul, 21, di sebuah kondominium sewa di Urban Suites, Jelutong di sini, jam 12.30 tengah malam pada 5 September lalu.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa merompak sebuah telefon bimbit iPhone 13 Pro Max serta wang berjumlah RM582, iaitu RM100 tunai dan RM482 melalui aplikasi Touch ‘n Go milik mangsa.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Puteri Nor Nadia menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, dalam rayuan kesemua mereka tertuduh memohon jaminan rendah atas faktor latar belakang masing-masing.

Remaja tersebut mohon jaminan minima atas alasan dia tidak lagi bersekolah selain ibunya juga tidak berkemampuan manakala Abdul Hakim seorang penganggur.

Muhammad Loqman yang bekerja sebagai pemandu lori pula, merayu agar jaminan rendah diberikan kerana perlu menanggung isteri yang juga suri rumah dan seorang anak berusia dua tahun selain menjaga ibu bapanya.

Sementara itu, Muhammad Amsyar yang juga penuntut diploma memaklumkan ibu bapanya sudah bercerai, dia tinggal bersama enam beradik lain, manakala bapanya tidak bekerja..

Selepas mendengar rayuan, mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh serta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 17 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast