KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Pakistan ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memandu van dengan tidak memiliki lesen sah di Jalan Iskandar, Klang, Selangor, semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki berusia 40-an itu mendakwa disuruh majikannya untuk memandu van terbabit yang membawa muatan besi buruk.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati van berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala nombor casis didaftarkan atas sebuah syarikat.
“Op Gempur Kenderaan Perdagangan mendapati pemandu dan kenderaan terbabit melakukan kesalahan tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Memandu tamat tempoh, tiada insurans dan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan bukan kepunyaan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah beliau, kenderaan tersebut telah disita di SPK Ijok.
Katanya, JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan. -MalaysiaGazette
















