Lelaki ditahan polis susulan tindakan menyerang sepasang suami isteri selepas berang ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, pada Khamis lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis semalam susulan tindakan menyerang sepasang suami isteri selepas berang ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 49 tahun itu ditahan sekitar  4.30 petang di Persiaran Kayangan Seksyen 9 selepas pulang berkonvoi motosikal dari Thailand.

“Suspek yang juga mekanik bengkel motosikal ditahan dan telah dibawa ke Mahkamah Majistret pagi tadi untuk proses reman namun tidak mendapat kebenaran dan telah diberikan jaminan,” katanya hari ini.

Bagaimanapun Mohd Iqbal berkata, polis akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu untuk pertuduhan ke atas suspek.

Tambah beliau, semakan mendapati ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tangkap layar lelaki menyerang sepasang suami isteri selepas berang ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, pada Khamis lalu.

Sebelum ini media melaporkan, rakaman video tular seorang lelaki  bergaduh dengan pasangan suami isteri selepas berang ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam.

Dalam kejadian kira-kira 11.50 malam pada 11 September lalu itu membabitkan seorang wanita hamil lapan bulan dan suaminya yang tidak selesa dengan tindakan suspek merokok di meja berdekatan.

Selepas tiga kali ditegur suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan serta didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlaku pertengkaran.

Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast