Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar diiring Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menyerahkan plak penganugerahan kepada penerima pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1446H/2025 di Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Arab Saudi bagi memohon tambahan kuota jemaah haji untuk musim 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, setakat ini kuota jemaah haji Malaysia kekal sebanyak 31,600 orang dan pihaknya sedang menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

“Untuk bayaran haji belum ada keputusan baharu, manakala kuota jemaah haji Malaysia setakat ini masih kekal 31,600 orang.

“Saya sendiri telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Haji Arab Saudi, Tawfiq Fauziah Al-Rabiah bagi memohon penambahan kuota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi dan Penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) Musim Haji 1446H hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, TH akan memberi tumpuan kepada aspek pendigitalan bagi memastikan operasi haji berjalan dengan lebih cekap pada masa hadapan.

“Proses pendigitalan pasport dan urusan lain amat penting untuk memastikan pengurusan haji lebih lancar. Dengan fokus kepada digitalisasi, kita yakin masa pemprosesan dapat dikurangkan.

“Kerjasama ini akan dilaksanakan bersama Kerajaan Arab Saudi dan Kementerian Haji serta Umrah.

“Pada masa sama, saya tekankan agar warga kerja TH terus memperkenalkan inovasi baharu supaya pengurusan haji musim 2026/1447H dapat dilaksanakan dengan lebih baik, insya-Allah,” tambahnya.

Dalam pada itu, TH turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Diamond Award bagi pengurusan haji tahun 2025 iaitu anugerah tertinggi dalam bidang tersebut.

Pengiktirafan itu merupakan kali keempat diterima hasil komitmen padu seluruh warga kerja serta pengurusan TH.

Majlis hari ini turut menyaksikan penghargaan diberikan kepada 32 sahabat korporat yang menyumbang sebanyak RM7.1 juta dalam pelbagai bentuk bagi membantu meringankan urusan jemaah haji musim ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast