Logo Majlis Media Malaysia.

KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) menyifatkan kompaun RM100,000 yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap dua syarikat akhbar tempatan, Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd sebagai keterlaluan.

Ia juga tidak seimbang dengan kesalahan yang didakwa, katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut MMM, meskipun pihaknya mengakui kepentingan ketepatan maklumat dan keperluan menghormati simbol negara, hukuman berat seperti itu hanya akan menimbulkan suasana ketakutan dan penapisan sendiri dalam kalangan wartawan serta pengarang.

“Kesilapan yang tidak disengajakan walaupun dikesali, wajar ditangani dengan langkah pembetulan yang berpatutan. Hukuman berat pula hanya akan menjejaskan operasi bilik berita, laporan berkepentingan awam dan kepelbagaian suara dalam ekosistem media negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

MCMC mengenakan denda RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Media dan Sinar Karangkraf susulan kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam kenyataan semalam, MCMC berkata, siasatan dijalankan selepas Sin Chew Daily didakwa memuat naik paparan tidak lengkap Jalur Gemilang di laman webnya.

Secara berasingan, Sinar Harian dikenakan penalti kerana menerbitkan infografik dengan ralat yang tersalah menyatakan Ketua Polis Negara Khalid Ismail sebagai ahli PKR.

Kedua-dua syarikat media itu disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dituduh di bawah Seksyen 243 akta sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast