LONDON – Jabatan pengangkutan Britain meluluskan peruntukan berjumlah £2.2 bilion (AS$2.96 bilion) untuk landasan baharu di Lapangan Terbang Gatwick, beberapa bulan selepas Lapangan Terbang Heathrow mendedahkan rancangan untuk landasan ketiga, menurut dokumen kerajaan.
Lapangan Terbang Gatwick, terletak di selatan London, ialah lapangan terbang antarabangsa kedua tersibuk di United Kingdom (UK) selepas Heathrow.
Ia juga adalah hab udara landasan tunggal tersibuk di Eropah, dengan lebih 43 juta penumpang menggunakannya tahun lepas.
Projek yang dibiayai persendirian itu akan melibatkan lapangan terbang tersebut memindahkan landasan kecemasannya sejauh 12 meter ke utara untuk membolehkan ia berfungsi sepenuhnya, menurut dokumen Jabatan Pengangkutan.
Ini akan membolehkan ia digunakan oleh kira-kira 100,000 lagi penerbangan setahun.
Tahun lepas, lapangan terbang itu mengendalikan sekitar 261,000 penerbangan.
Media UK melaporkan jabatan itu berpendapat rancangan itu tidak memerlukan sistem perancangan yang kompleks dan kekangan kapasiti “menyekat perniagaan, perdagangan dan pelancongan”, memetik sumber kerajaan.
Penerbangan boleh berlepas dari landasan baharu menjelang 2029, lapor media.
“Selepas proses perancangan yang panjang dan rapi, kami mengalu-alukan kelulusan kerajaan terhadap rancangan untuk membawa laluan utara untuk kegunaan rutin, mendahului tarikh akhir yang dijangkakan,” kata Stewart Wingate, Pengarah Urusan UK Vinci Airports, yang memiliki lapangan terbang tersebut.
Beliau berkata rancangan itu akan mewujudkan beribu-ribu pekerjaan dan membuka faedah pertumbuhan, pelancongan dan perdagangan yang ketara untuk Gatwick dan UK.
Pelan landasan ketiga Heathrow bernilai £21 bilion disokong oleh Kerajaan Buruh pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer pada Januari selepas perbalahan undang-undang selama bertahun-tahun, dengan pentadbiran berminat untuk mengeluarkan projek infrastruktur besar dengan harapan dapat memulihkan ekonomi Britain yang perlahan.
Kedua-dua rancangan pembesaran lapangan terbang telah mendapat kritikan daripada kumpulan alam sekitar dan penduduk bimbang tentang bunyi bising. – Agensi
















