TANGKAP layar video tular yang memaparkan perbuatan kekerasan yang dilakukan sekumpulan pelajar terhadap seorang pelajar lain.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap polis segera bertindak dan mengambil tindakan tegas berhubung kejadian kekerasan fizikal melibatkan sekumpulan pelajar yang videonya tular di media sosial.

Menurut beliau, semua pelaku dalam insiden itu perlu didakwa supaya menjadi pengajaran penting kepada pihak lain.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan perbuatan seperti itu tidak boleh sesekali dikompromi atau didiamkan meskipun atas alasan sekadar gurauan.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

“Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menerusi hantaran sama, Asyraf Wajdi turut berkongsi video kejadian melibatkan sekumpulan pelajar yang melakukan kekerasan fizikal kepada seorang pelajar lain dengan cara menghayunkan tubuh mangsa sehingga terkena pada tiang besi papan tanda.

Susulan video yang tular itu juga, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar berkenaan yang merupakan penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Miri, Sarawak.

Menurut KBS, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku pada pukul 4.30 petang, 19 September lalu, namun laporan diterima semalam.

Kementerian itu berkata, pelaku buli sama ada akan digantung atau dibuang dari institut berkenaan susulan kejadian yang ditularkan dalam sebuah video.

“Tiada ruang untuk keganasan fizikal di institut ini, sama ada sebagai gurauan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast