KUALA LUMPUR – Beberapa pusat urut di sini dan sekitar Puchong yang menawarkan ‘perkhidmatan tambahan’ diserbu
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan pihaknya selama dua minggu.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 55 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke beberapa lokasi.

Seramai 42 individu terdiri daripada dua lelaki dan 29 Wanita warganegara asing serta 11 warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi dan hasilnya seramai 28 warganegara asing yang terdiri daripada dua wanita Thailand, satu lelaki dan tiga wanita China, lima wanita Myanmar, 12 wanita Indonesia, empat waita Vietnam dan seorang lelaki India berumur di antara 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
JIM turut mengeluarkan sebanyak tujuh saman kepada saksi (Borang 29) terhadap pelanggan yang berada di beberapa lokasi kejadian.
Modus operandi premis ini adalah beroperasi sebagai spa dan refleksologi atau pusat urut pada waktu siang dengan menggunakan nama dan dekorasi formal untuk menutup kegiatan mereka yang kebiasaannya aktif pada waktu petang hingga lewat malam.
“Pihak pengurusan premis mempromosikan perkhidmatan mereka melalui kad perniagaan, media sosial, aplikasi mesej seperti WhatsApp dan telegram dengan menawarkan pelbagai pakej menarik seperti mandi bersama pelanggan serta perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM200 hingga RM350 bergantung kepada pakej dan masa yang dipilih.
Premis urut itu turut menyediakan bilik-bilik persendirian serta ruang tertutup untuk kegunaan ‘pelanggan khusus’.
Dianggarkan keuntungan yang diperoleh oleh sebuah premis urut ini adalah sekitar RM300,000 sebulan, katanya.
Menurut Zakaria, JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI, tegasnya. – MalaysiaGazette
















