KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan maut manakala, tujuh lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya SILK, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi melibatkan sebuah lori yang membawa muatan besi, sebuah kereta dan dua buah jip.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, lori terbabit yang datang dari arah Semenyih menuju ke Putrajaya mengalami kegagalan brek sebaik tiba di kawasan plaza tol tersebut.
Keadaan itu menyebabkan pemandu lori hilang kawalan sebelum merempuh tiga buah kenderaan lain yang sedang memasuki lorong tol lapan dan sembilan.
“Akibat perlanggaran itu, seorang bayi lelaki berumur 1 tahun 4 bulan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh lagi mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Kajang, Serdang dan KPJ Kajang.
“Berdasarkan siasatan, kita dapati pemandu lori yang merupakan lelaki warga tempatan memiliki dua rekod jenayah, satu rekod berkaitan dadah dan turut memiliki empat saman lampau.
“Ujian air kencing yang dilakukan ke atas pemandu lori juga didapat negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu lori berusia 42 tahun itu telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda sehingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Insp Mohd Raziman Bin Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan bersama. – MalaysiaGazette















