Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

PUTRAJAYA – Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 perlu dilihat daripada sudut kepengerusian ASEAN, bukannya sekadar perspektif sempit.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jemputan itu juga tidak harus ditafsir sebagai sokongan Malaysia terhadap pemimpin Amerika Syarikat (AS) memandangkan Malaysia dilantik sebagai Pengerusi ASEAN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa suara konsensus 10 negara rantau ini di pentas dunia.

“(Presiden) Trump datang bukan atas kapasiti hubungan dua hala Malaysia-Amerika semata-mata.

“Perdana Menteri hadir sebagai ketua kepada satu rantau besar dengan 680 juta penduduk, ekonomi yang stabil dan robust, untuk berdepan dengan pemimpin dunia lain termasuk dari China, India, Rusia dan Brazil,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Mengulas bantahan terhadap kehadiran Trump yang diketahui menyokong Israel, Saifuddin Nasution mengajak rakyat supaya isu ini ditimbang secara matang, bukan emosi.

“Kalau dalam perbahasan dunia pun kita tolak, bagaimana nak sampaikan pendirian kita? Ada ayat al-Quran yang cerita tentang Musa disuruh pergi berjumpa Firaun walaupun Firaun itu zalim. Allah arahkan supaya berhujah dengan bahasa lemah-lembut,” kata beliau.

Menurut Saifuddin, Al-Quran sendiri memberikan pedoman bagaimana umat Islam harus berdepan dengan pemimpin zalim, termasuk perintah Allah kepada Nabi Musa untuk menemui Firaun.

“Siapa pemimpin yang paling kejam satu ketika dalam sejarah manusia? Dalam Al-Quran, Firaun. Sampai dia berkata, aku Tuhan. Polisi dia pada masa itu bunuh semua anak lelaki, maknanya kejam, zalim, hebat.

“Tapi apa Tuhan suruh? Pergilah kamu wahai (Nabi) Musa, berjumpa Firaun dan Tuhan sebut, berhujahlah kamu dengan bahasa lemah lembut,” jelasnya.

Saifuddin Nasution turut merujuk pandangan ulama Indonesia, Buya Hamka dalam tafsir Al-Azhar yang menekankan keperluan menggunakan bahasa yang baik walaupun menegur pemerintah.

“Jadi dalil kita itu ada. Kalau kita berinteraksi kita boleh cakap terus berdepan, dia duduk depan kita, sebut dengan dia. Kita kata kita mengutuk serangan ganas (terhadap Gaza), kita kutuk dasar yang menyokong Israel dan sebagainya, kita boleh sebut dengan tegas, dia duduk depan (kita),” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa hadis Nabi menyebut jihad paling besar ialah berkata benar di hadapan pemerintah zalim.

“Di sana pun ada hadis, jihad yang paling besar ialah berkata benar di hadapan orang jahat, pemerintah yang jahat. Tiba-tiba interaksi pemerintah yang jahat dikatakan sebagai kita bersahabat dengan syaitan? Nak cakap macam mana kalau tak boleh berdepan dengan dia?,” soal Saifuddin.

Beliau berkata, kehadiran Trump hanyalah satu daripada ramai pemimpin dunia yang akan hadir, dan Perdana Menteri bukan sekadar mewakili Malaysia, tetapi suara ASEAN sebagai rantau dengan 680 juta penduduk, ekonomi yang berkembang dan stabil.

Ahad lali, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara pada bulan depan.

Anwar berkata, Kuala Lumpur akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast