PUTRAJAYA – Pelaksanaan subsidi petrol di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah setakat ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pemantauan awal mendapati keadaan di stesen-stesen minyak terkawal, termasuk pada waktu puncak.
“Hari ini kita tengok stesen-stesen minyak umumnya termasuk peak hours lancar dan ini bukan berlaku secara spontan, ini berlaku kerana perancangan yang begitu rapi,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, kejayaan terbesar BUDI95 adalah penggunaan MyKad untuk pembelian petrol RON95 yang boleh dibuat secara terus di pam stesen minyak.
“Kejayaan terbesar BUDI95 adalah pembelian yang memerlukan pengesahan MyKad bukan sahaja boleh buat di dalam kaunter melalui card reader tetapi dilaksana di pam minyak secara terus.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah bantu melakukan naik taraf sistem di terminal stesen minyak melalui kepakaran dan bahagian teknologi maklumat JPN. Kita membantu 4,000 syarikat minyak seluruhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, beberapa isu teknikal sedang diteliti khususnya membabitkan anggota dan pesara polis.
“Ada sejumlah kecil dikalangan anggota polis yang lesen memandu mereka perlu integrasi sistem Jabatan Pengangkutan Jalan dengan sistem Kementerian Kewangan,” jelasnya.
Saifuddin menambah, penjimatan hasil BUDI95 akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan pembinaan infrastruktur.
“Saya boleh sebut bahawa penjimatan itu boleh bina jambatan, sekolah dan hospital untuk rakyat,” kata beliau.
Bermula tengah malam tadi, seramai 16 juta rakyat Malaysia mula menikmati manfaat daripada inisiatif BUDI95 yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Harga itu lebih murah berbanding kadar subsidi pukal sedia ada iaitu RM2.05 seliter dengan setiap rakyat diberi kelayakan penggunaan sebanyak 300 liter sebulan.
BUDI95 mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40. – MalaysiaGazette
















