Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Serangan rejim Zionis terhadap aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bukan sahaja jenayah terhadap rakyat Palestin, malah penghinaan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang cintakan keamanan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, serangan terhadap sukarelawan Malaysia dalam misi itu juga adalah serangan terhadap maruah negara ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Malaysia mengambil langkah segera melalui saluran diplomatik dan perundangan untuk memastikan keselamatan semua sukarelawan, khususnya warganegara Malaysia.

Dalam masa sama, beliau turut menuntut supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan komuniti antarabangsa tidak lagi berdiam diri.

“Israel mesti dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berulang kali dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mengutuk tindakan biadab dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang telah menceroboh dan menghalang misi kemanusiaan GSF.

Menurut beliau, konvoi itu membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Gaza yang sedang menderita, namun Israel sekali lagi membuktikan sifat zalimnya dengan menyekat walaupun misi atas nama kemanusiaan.

“Israel boleh menghalang kapal, tetapi mereka tidak akan mampu menghalang gelombang solidariti yang semakin membesar di seluruh dunia untuk membela Palestin.

“Perjuangan ini adalah perjuangan kemanusiaan, dan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin hingga kemenangan tercapai,” katanya.

Setakat ini, seramai 12 rakyat Malaysia yang merupakan antara 201 daripada 497 orang peserta flotila dalam misi GSF telah ditahan di atas kapal oleh tentera rejim Israel.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby bagaimanapun memberitahu, dua delegasi Malaysia yang berada di kapal Mikeno dan Inana tidak dapat dihubungi sejak serangan itu iaitu Ardell Aryana dan Razali Awang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast