KUANTAN – Hampir 2,000 rakyat Pahang berhimpun di Masjid Negeri 1 Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini bagi menyatakan solidariti terhadap sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Zionis semalam.
Perhimpunan itu dianjurkan Majlis Belia Negeri Pahang dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Sukarelawan Sosial Anak Pahang, Suara Anak Pahang dan Gabungan Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Pahang selepas solat Jumaat dan solat Hajat di masjid tersebut.

Setiausaha Agung Majlis Belia Pahang, Nabil Fiqri Nor Azmi berkata, himpunan itu bertujuan mengumpulkan suara rakyat dan wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha mendesak pembebasan aktivis yang ditahan sejak semalam.
“Gerakan yang kita buat bermula daripada tengah hari semalam. Gerakan yang kita buat dengan jalinan kerjasama daripada NGO-NGO ini kerana kita rasa tidak boleh lagi tunggu.
“Tindakan dangkal telah dilakukan jadi kita terpaksa bergerak walaupun dengan bilangan yang kecil tetapi suara kita harus didengar oleh oleh mereka di luar sana,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan aman itu.

Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Strategik (UKS) Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata perhimpunan itu bukan atas dasar bangsa atau mengikut trend, sebaliknya kerana persaudaraan sesama umat Islam.
Katanya, Israel tidak mempunyai hak untuk menyerang kapal atau peserta misi GSF yang kini dalam perjalanan ke Gaza kerana perkara itu telah termaktub dalam Resolusi 2720, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023.
“Dan kita juga harus tunjukkan kebersamaan kita dalam menuntut kebebasan kawan-kawan, saudara mara kita dalam misi Global Humanitarian Flotilla. Hari ini di bumi Pahang kita isytiharkan puak Zionis ini adalah sebagai puak paling penakut dalam dunia.
“Hari ini kita membawa mesej untuk mendesak PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terutamanya untuk bersama kita.
“Sebab apa yang dilakukan oleh Zionis ini adalah telah melanggar Resolusi 2720 Majlis Keselamatan PBB iaitu apabila ada misi kemanusiaan sepatutnya harus kita beri ruang dan pastikan ia selamat,” tegasnya.

Sementara itu Khairul Anwar menyatakan sokongan terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.- MalaysiaGazette
















