KUANTAN – Sebanyak 11,639 buah kenderaan perdagangan diperiksa menerusi Ops Khas Gempur Perdagangan di seluruh negeri dalam tempoh sebulan bermula 1 September lepas.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,677 notis telah dikeluarkan terhadap 1,960 kenderaan membabitkan lori dan bas.
“Sebanyak 3,383 Notis Saman JPJ (P) 22 dikeluarkan, 617 Notis Arah Periksa 61 (1), 657 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan PG. 1 berserta saman dan sitaan kenderaan menerusi Notis Penahanan Kenderaan 64 (1) ke atas 20 buah lori.
“Daripada 3,383 Notis Saman JPJ (P) 22 yang dikeluarkan itu, kesalahan paling tinggi membabitkan kesalahan teknikal pelbagai iaitu 869, manakala sebanyak 528 notis dikeluarkan di atas kesalahan lebih muatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya, sebanyak 895 kes berkaitan muatan yang direkodkan menerusi Op Khas itu termasuk Lebih Muatan di bawah Akta Pangangkutan Jalan (APJ) iaitu 524 kes.
Manakala kes Muatan Berbahaya atau Tidak Menutup Muatan di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan pula melibatkan 320 kes dan kes berkaitan Lebih Muatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 pula dikenalpasti sebanyak 45 kes.
“Daripada 20 lori yang disita, kesemuanya hanya melibatkan kenderaan barangan iaitu lapan kenderaan berat kurang daripada 7,500 kilogram (kg) dan 12 kenderaan berat melebihi 7,500 kg,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan terus dilaksanakan sehingga 31 Disember depan bagi mengesan sebarang kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan.
Katanya, JPJ Pahang akan terus fokus dalam pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan bagi mengekang risiko kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna. – MalaysiaGazette
















