KUANTAN – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menerapkan pendekatan kurikulum dan modul yang digunapakai institusi-institusi tahfiz di Pahang kedalam semua 344 institusi pendidikan MARA.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan Yayasan Pahang bagi mempelajari kaedah, pedagogi dan modul untuk meaksanakannya.
“Modul Pra-Tahfiz yang dilaksanakan amat efektif sehinggakan pelajar berusia lima hingga enam tahun boleh hafaz juzuk ke-30 (Juzuk Amma).
“Malah Maahad Tahfiz Pahang pernah mencatat keputusan Sijil Peajaran Malaysia (SPM) terbaik di Malaysia dua tahun lepas, membuktikan pelajar tahfiz masih boleh cemerlang dalam akademik dengan pendekatan kurikulum dan modul yang betul dan berkesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau dalam pada itu turut memuji inisiatif pembangunan generasi huffaz yang dipacu oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi institusi-institusi Tahfiz di negeri ini.
Menurut Asyraf, modul yang dibangunkan di institusi-institusi tahfiz itu berkesan buat pelajar di semua peringkat umur.
“Rakyat Pahang patut berbangga. Jasa Tuanku Sultan Pahang amat besar kerana mencetus gelombang pembangunan generasi Huffaz daripada peringkat umur lima tahun melalui Tadika Pra-Tahfiz sehinggalah ke peringkat menubuhkan sebuah Universiti al-Quran pertama di dunia.
“Moga Allah merahmati dan memberkati inisiatif dan usaha Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memartabatkan Tahfiz dan generasi Huffaz di negara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















