KUANTAN – Seorang remaja maut apabila motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di jalan Kuantan – Kemaman, di sini awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu berlaku berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging, Sungai Ular ketika mangsa dalam perjalanan menghala ke arah Kemaman, Terengganu.
“Siasatan awal mendapati MPV jenis Proton Exora dinaiki dua warga emas dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari arah Kemaman.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang remaja itu tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, katanya, mangsa, Muhammad Fahrin Muqrish Mohd Fadzli, 19 maut di lokasi kejadian, manakala kedua-dua warga emas yang beralamat di Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ashari memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















