KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin kerajaan akan menggunakan segala saluran untuk membawa pulang kesemua sukarelawan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Israel dengan selamat.
Sehubungan itu, beliau berharap kesemua sukarelawan berkenaan diberi kesabaran tinggi dan kekuatan semangat dalam mendepani cabaran ketika ini.
Dalam masa sama, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis yang menghalang misi kemanusiaan GSF dan menahan para aktivisnya daripada menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.
“Seperti kita tahu misi kemanusiaan ini bukan membawa senjata, tetapi cubaan untuk menghantar makanan, ubat-ubatan dan barangan asas yang sangat diperlukan penduduk Gaza.
“Misi ini juga melibatkan peserta dari seluruh negara, jadi kita harap Israel sedar negara itu kini sebenarnya bersendirian dalam tindakan yang dilakukan terhadap Palestin,” katanya.
Ismail Sabri yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) ditemui pemberita selepas majlis pelancaran program Larian Keluarga Malaysia 2025 dan Sukarelawan YKM serta Pemberian Bantuan Menara Gading di sini hari ini.
Ketika ini, seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ditahan rejim Zionis selepas kapal dinaiki mereka dipintas ketika cuba menghampiri perairan Gaza.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mendesak Amerika Syarikat (AS) bersikap jujur dalam usaha negara berkenaan mencapai keamanan dan menghentikan tindakan zalim rejim Israel terhadap penduduk Palestin.
Menurut beliau, meskipun pelbagai usaha kononnya dirintis negara itu ke arah perdamaian, di samping pelbagai suara kutukan masyarakat antarabangsa terhadap tindakan rejim Zionis, namun penduduk Palestin terus menderita sehingga kini.
“Selagi AS bertindak campur tangan (dengan cara tidak sepatutnya), maka memang sukar untuk isu Palestin ini diselesaikan, jadi negara itu perlu jujur sekiranya benar-benar mahu menamatkan konflik tersebut,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan kehadiran Presiden AS, Donald Trump ke negara ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini, Ahmad Sabri berkata, beliau meyerahkan kepada kerajaan untuk membuat pertimbangan sewajarnya berhubung perkara tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut merujuk kepada tindakan negara-negara seperti Sepanyol; Itali dan Columbia yang baru-baru ini menghalau diplomat dan memutuskan hubungan dengan Israel yang disifatkan sebagai satu tindakan serta pendirian yang jelas.
“Saya percaya kerajaan kita dari dulu pun memang merupakan penyokong yang kuat kepada perjuangan rakyat Palestin dan sehingga sekarang pun kita masih meneruskan tekanan terhadap AS supaya menyelesaikan segera konflik di negara tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















