Gambar hiasan

KUANTAN – Pengusaha stesen minyak disaran menyediakan sistem manual simpanan resit dan maklumat pelanggan sekiranya sistem tergendala ketika urusan pembelian minyak petrol menggunakan Budi Madani Ron95 (BUDI95) di premis masing-masing.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan, semua pengusaha stesen minyak perlu memastikan sistem operasi berjalan lancar bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pengguna pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian susulan terdapat aduan diterima pihaknya berkaitan gangguan Sistem BUDI95 yang berlaku di stesen minyak BHPetrol, Jalan Gambang di sini semalam bermula sekitar pukul 12.15 tengah hari.

“Pasukan pemeriksaan KPDN telah turun ke lokasi pada 4 petang hari yang sama dan mendapati gangguan sistem berlaku secara on dan off dari semasa ke semasa walaupun tiada masalah rangkaian internet dikesan di premis tersebut.

“Hasil siasatan mendapati seramai 28 pengguna terkesan akibat gangguan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Fuziah Salleh

Sehubungan dengan itu, Fuziah memaklumkan pihak pengusaha stesen telah mengemukakan laporan kepada Ibu Pejabat BHPetrol untuk tindakan lanjut.

Katanya, pengguna yang terlibat boleh mengemukakan tuntutan di stesen berkenaan dengan membawa resit asal pembelian bagi tujuan pengesahan dan bayaran balik.

Fuziah memberi jaminan KPDN akan terus memantau proses tuntutan tersebut bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna dilindungi sepenuhnya.

“KPDN ingin menegaskan pihak kementerian sentiasa memantau isu berkaitan pelaksanaan BUDI Madani RON95 dan akan memastikan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan serta menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menyeru pengguna yang berhadapan masalah untuk segera menghubungi talian aduan KPDN di 1-800-886-800 atau melalui saluran rasmi kementerian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast