KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk seorang wanita mengaku bersalah dan didenda RM71,000 di tiga mahkamah sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk pendaftaran kelahiran melibatkan lima bayi antara 2022 hingga 2023 lalu.
Kesemua tertuduh iaitu penarik kereta, Wong Liang Fong, 40; pekebun, Tey Tian Teck, 49; eksekutif operasi syarikat, Er Cheow Chin, 46, membuat pengakuan itu dan masing-masing didenda RM14,000 oleh Hakim Suzana Hussain dan Hakim Rosli Ahmad.
Manakala dua lagi tertuduh iaitu pengurus jualan, Yong Chin Wee, 44 dan seorang wanita yang juga pekerja am, Chong Yi Lin, 28, yang masing-masing dikenakan denda sebanyak RM14,500 oleh Hakim Azura Alwi.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara satu hingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Bagaimanapun mereka membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Yi Lin dan empat lelaki didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Daftar Kelahiran dan Surat Pemberitahuan Kelahiran ke atas lima bayi berbeza.
Kesemua dokumen itu mengandungi tandatangan dan cop dua doktor perubatan berlainan atas nama lima isteri berbeza termasuk Yi Lin yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Presint 2, Putrajaya antara Jun 2022 hingga 10 Mei 2023.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh menggunakan dokumen palsu bagi mendaftar bayi terbabit sebagai anak kandung untuk mendapatkan MyKid manakala salah seorang tertuduh turut mendaftarkan anak tidak sah taraf sebagai anak kandung.
Hasil semakan mendapati tiada direkodkan nama lima ibu terbabit yang melahirkan anak di hospital terlibat dan kesemua tertuduh memiliki bayi itu daripada ejen dan individu yang dibayar antara RM18,000 hingga RM70,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmaa Zamri, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Alimi Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam, Goh Han Koon, Shenton Maniam dan Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.
Sementara itu, seorang peniaga, Chee Keng Tiong, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain sebutan kes ditetapkan 5 November ini. – MalaysiaGazette
















