Ir. Razali Kassim

KUANTAN – Kenyataan bahawa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, di sini ditutup operasi ekoran penularan wabak Influenza adalah tidak benar.

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim, seramai 114 orang pelajar Tingkatan 4 masih dibenarkan berada di institusi itu bagi menduduki peperiksaan.

Beliau bagaimanapun mengesahkan berkaku kes jangkitan Influenza dalam kalangan pelajar di sekolah terbabit.

“Kes mula dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan pada 5 Oktober dan siasatan telah dijalankan sejak 6 Oktober.

“Setakat hari ini, seramai 114 pelajar yang dikesan dijangkiti Influenza, namun tiada yang dimasukkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Razali, jangkitan wabak itu disyaki berpunca daripada pelajar-pelajar yang pulang ke rumah ketika tempoh cuti sekolah pada 13 September sehingga 21 September lepas.

Penularan dalam kalangan pelajar pula berlaku melalui aktiviti harian mereka di asrama dan sekolah.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pihak PKD dan pengurusan MRSM terbabit telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan secepat mungkin.

“Pelajar yang bergejala telah diasingkan di rumah sehingga sembuh di mana semua pelajar dibenar pulang bermalam dan akan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 22 Oktober,” tambahnya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kes jangkitan sama turut dikesan di beberapa MRSM dan sekolah lain di seluruh negeri, sama seperti situasi di institusi pendidikan di seluruh negara.

Sebelum ini, satu kenyataan berkaitan tular menerusi aplikasi Whatsapp mengatakan MRSM Kuantan ditutup bermula hari ini sehingga 22 Oktober susulan lebih daripada 100 pelajarnya dijangkiti Influenza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast