MARAN – Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna ekoran kebocoran air pada siling di kawasan menunggu Green Zone serta Asthma Bay di Jabatan Kecemasan & Trauma hospital itu malam tadi.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim, syarikat konsesi HTAA sudah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk membaik pulih kawasan terjejas agar kejadian itu tidak berulang.
Jelasnya, kejadian itu berpunca daripada kebocoran air melalui celahan bumbung akibat serta hujan lebat dan berangin pada waktu berkenaan.
“Tambahan pula, kuantiti rainwater downpipe, tidak dapat menampung jumlah air yang terlalu banyak, terutamanya apabila berlaku hujan lebat secara berterusan.
“Akibat dari kejadian itu, ianya mengakibatkan kebocoran di kawasan menunggu, dan menyebabkan proses menunggu orang awam untuk mendapatkan rawatan terganggu pada waktu berkenaan.
“Untuk tindakan awal pada malam tadi, syarikat konsesi HTAA telah menggunakan tampalan flashing tape untuk menutup celahan bumbung yang berpotensi dimasuki air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular di media sosial satu video klip berdurasi 32 saat memaparkan kejadian itu yang dikatakan berlaku kira-kira jam 8 malam semalam.
Tambah Razali, semakan dan pembaikan lanjut terhadap bumbung dan rainwater downpipe akan dilaksanakan bagi memastikan kejadian kebocoran bumbung tidak berulang.
Pada masa yang sama, katanya semakan keseluruhan terhadap keselamatan pendawaian elektrik dilaksanakan bagi memastikan fasiliti berkenaan selamat untuk digunakan. – MalaysiaGazette
















