KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mencari mekanisme terbaik untuk menaikkan harga siling untuk beras putih tempatan (BPT) di Malaysia.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, harga RM2.60 yang diperkenal sejak 2008 perlu dilihat kembali kerana ia turut melibatkan isu keselamatan negara.
“Kerajaan perlu menyemak harga BPT kerana sudah terlalu lama dengan harga yang sama dan petani kita terutamanya pesawah dapat merasa juga ada masa depan yang baik.
“Kalau harga lantai BPT pun tak ditingkatkan, saya bimbang petani kita akan rasa mereka tidak ada masa depan dalam industri beras negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tuan Ibrahim turut berkata, pesawah-pesawah kini berhadapan pelbagai kesukaran apatah lagi selepas Covid-19 selain perubahan iklim yang memberi Kesan kepada penanaman padi.
“Para petani kita berhadapan dengan kenaikan kos untuk banyak barang-barang antaranya baja, racun dan yang lain-lain lagi.
“Beras ini adalah isu keselamatan negara, kerana itu saya tekankan kerajaan perlu menyemak semula harga siling BPT ini.
“Sudah tiba masanya juga kerajaan lihat dari dekat apakah mekanisme yang sesuai untuk menaikkan harga siling BPT,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, dengan kenaikan harga siling BPT nanti akan dapat mengurangkan sekali gus menyekat orang tengah yang mengaut keuntungan tinggi.
“Kita semua tahu, pesawah tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana polisi harga ini dipegang oleh kerajaan.
“Masa depan industri beras ini berisiko tinggi termasuk juga apabila kita berdepan musim kemarau dengan bekalan air tak dapat ditampung kerana perlu dibahagi antara penduduk dan pesawah.
“Dengan ini padi tak dapat sumber air mencukupi, ini yang saya katakan pesawah kita terbeban dengan perkara-perkara ini,” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berpandangan, bukan hanya harga BPT tetapi kerajaan perlu mengkaji semula harga padi juga yang dilihat perlu dinaikkan.
“Saya sokong untuk harga BPT naik cuma sedikit kuathir jika harga beras sahaja naik yang akan untung adalah pengilang, tak kisahlah harga itu nanti akan menyamai beras import.
“Walaupun harga pasaran BPT menjadi RM3.50 atau RM3.60, kerajaan kena pastikan keuntungan turut dapat dirasai oleh rakyat bukan pada pihak-pihak tertentu sahaja.
“Saya berharap bekalan BPT ini sentiasa ada di pasaran,” katanya.

Jelasnya, kerajaan tidak boleh lagi berhelah untuk meningkatkan harga BPT dan juga padi.
“Kita kena berlaku adil pada pesawah-pesawah kita. Mereka terbeban dengan banyak perkara dan kerumitan hidup termasuklah kos untuk pengeluaran padi.
“Harga padi sekarang RM1,500 per tan perlu dinaikkan kepada RM1,800 per tan barulah dapat membantu pesawah kita.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, pihaknya akan mengkaji mekanisme terbaik untuk menggalakkan pengeluaran padi dan beras tempatan. Kajian itu akan diperinci melalui sesi libat urus bersama pesawah, pengilang dan pemain industri berikutan terdapat permintaan untuk Kerajaan melihat semua harga kawalan BPT yang tidak pernah disemak sejak tahun 2008. -MalaysiaGazette
















