Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap pada media berkenaan Pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI ketika hadir di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melahirkan penghargaan kepada kerajaan selepas Sabah dan Sarawak mendapat peruntukan tertinggi dalam sejarah menerusi Belanjawan 2026.

Menurut beliau, menerusi belanjawan itu, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.9 bilion manakala Sarawak menerima RM6 bilion.

Tambahnya, menerusi Belanjawan 2026, Kerajaan Madani juga memberi penekanan besar terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak melalui pelaburan strategik dalam tenaga, air, jalan raya dan digitalisasi selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak telah ditingkatkan melalui peruntukan kali ini iaitu dengan jumlah RM600 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini.

Selain itu, tambah Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Belanjawan 2026 turut menyediakan peruntukan berjumlah RM2.2 bilion bagi 43 projek tebatan banjir termasuk 12 projek baharu.

Dalam masa sama PETRA turut menerima peruntukan sebanyak RM292 juta bagi pemuliharaan sungai dan sistem pengurusan air yang lebih mampan melalui Program MASMA (Memperbaiki, Mengindah, Membersih danMerawat Air Sungai dan Infrastruktur).

“Jadi di pihak PETRA, kami memberi komitmen sepenuhnya untuk memastikan apa sahaja yang diperuntukkan kepada kami dibelanjakan dengan sebaik mungkin mengikut tempoh masa, bajet dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhannya juga, beliau beranggapan Belanjawan 2026 adalah belanjawan bersifat rakyat dengan kerajaan berusaha memberi tumpuan untuk memastikan tadbir urus kewangan dapat dilakukan dengan baik sekali gus memanfaatkan semua sektor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast