KUALA LUMPUR – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia merupakan antara ikhtiar kerajaan menerusi Belanjawan 2026 untuk menangani isu kenaikan inflasi perubatan.
“Selain itu, sukacita diumumkan, inisiatif MySalam diteruskan untuk tahun 2026 bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dengan persediaan subsidi perlindungan hospitalisasi dan penyakit kritikal,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen, hari ini.
Selain kerajaan dan pihak industri juga katanya, memperuntukkan dana sebanyak RM60 juta bagi memperkenalkan produk insurans asas mampu milik untuk semua serta melaksanakan Diagnosis Related Group (DRG).
Tambah beliau, bagi menggalakkan caruman perlindungan insurans atau takaful dalam kalangan rakyat, kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai individu sehingga RM3,000 diberikan ke atas bayaran premium insurans nyawa atau takaful nyawa.
“Ia bagi caruman sendiri dan pasangan, diperluas bagi meliputi anak.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mencadangkan pengecualian cukai duti setem sepenuhnya diberikan ke atas polisi insurans atau sijil takaful bernilai kecil yang dibeli oleh individu dan PMKS dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028.
Pengecualian duti setem sepenuhnya juga diberikan ke atas polisi insurans dan sijil takaful bagi produk Perlindungan Tenang untuk dilanjutkan bagi tempoh tiga tahun sehingga 2028.
Bagi menggalakkan hospital swasta membantu pesakit kurang mampu mendapat rawatan, ia dibenarkan menubuhkan Tabung Kebajikan Hospital yang diuruskan oleh syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ).
“Pendapatan diterima oleh tabung diberi pengecualian cukai dan pihak yang menyumbang kepada tabung tersebut layak mendapat potongan cukai,” katanya lagi. -MalaysiaGazette














