KUALA LUMPUR – Orang ramai menzahirkan rasa bimbang dengan persetujuan kerajaan untuk kenaikan kadar fi perundingan pengamal perubatan am di klinik swasta daripada RM10–RM35 kepada RM10–RM80.
Mereka berpendapat langkah itu wajar diteliti semula kerana dikhuatiri akan menambah beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sudah pun terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Seorang pesara, Johari Nordin, 61, berpendapat, kenaikan fi tersebut dilihat tidak wajar pada waktu ini ketika ekonomi rakyat masih belum stabil.
“Bagi saya, sebarang kenaikan melibatkan rakyat pada masa ini memang membebankan. Kalau nak dinaikkan, sepatutnya tengok dulu tahap perkhidmatan klinik tu.
“Sekurang-kurangnya sebelum naikkan kadar sampai RM80, pastikan mutu perkhidmatan juga meningkat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau turut berpendapat sebarang kenaikan caj perlu seiring dengan peningkatan kualiti perkhidmatan supaya rakyat tidak berasa terbeban tanpa sebab yang munasabah.
“Kalau nak naikkan caj, mesti naikkan tahap servis dulu. Kalau tidak, rakyat rasa macam bayar lebih tapi dapat sama saja. Jadi kerajaan kena pertimbangkan semula benda ni,” tambahnya.
Mengulas secara keseluruhan mengenai Belanjawan 2026, Johari berkata, masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan agar manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
“Banyak boleh tambah baik. Tapi biarlah apa yang kerajaan fikirkan tu betul-betul ditunaikan. Sekarang ni banyak janji yang belum dilaksanakan. Kita harap jangan sekadar cakap saja,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan rakyat kini tidak hanya menantikan pengumuman angka dan bantuan, tetapi mahu melihat hasil pelaksanaan sebenar di lapangan.
“Bantuan macam Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memang membantu, tapi tak banyak. Kenaikan harga barang dan minyak masih menekan rakyat.
“Walaupun kerajaan kata harga minyak turun, hakikatnya rakyat tetap bayar lebih daripada sebelumnya,” tambahnya.

Sementara itu, Nazatul Shuhada Mohd Ghazali, 34, seorang pekerja swasta, berpandangan, kenaikan fi perundingan klinik swasta itu pastinya akan membebankan golongan yang tiada pendapatan tetap seperti suri rumah.
“Pada saya yang bekerja mungkin tidak (beban), tapi pada orang lain mungkin membebankan. Sekarang pun kos klinik dah mahal.
“Contohnya mereka yang tidak bekerja, atau suri rumah, memang terasa bebannya,” katanya.
Dalam pada itu, Nazatul Shuhada menegaskan pelaksanaan SARA yang diteruskan dalam Belanjawan 2026 amat membantu golongan B40, namun kerajaan perlu menilai semula kadar gaji minimum agar sejajar dengan peningkatan kos sara hidup.
“Gaji asas sekarang pun tak cukup. Ramai yang terpaksa buat dua kerja untuk tampung keluarga.
“Jadi kerajaan boleh pertimbangkan naikkan gaji minimum dan bantu suri rumah tambah pendapatan melalui perniagaan kecil,” katanya.

Bagi pekerja gig, Ismail Md Isa, 44, beliau menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai caruman sehingga RM600 setahun kepada pekerja ekonomi gig, yang disifatkannya mampu memberi sedikit kelegaan kepada golongan yang tiada pendapatan tetap.
“Memang sangat membantu untuk pekerja gig macam kami. Sebelum ini caruman tak menentu sebab pendapatan pun berubah-ubah ikut hari dan jarak kerja. Kadang cuma RM100 atau RM200 saja sebulan,” katanya.
Namun, beliau berharap kerajaan turut meneliti kadar bayaran yang diterima pekerja gig yang disifatkannya masih belum sepadan dengan tenaga kerja yang dikeluarkan.
“Kadang-kadang jarak jauh, tapi bayaran murah. Kalau boleh kerajaan bantu dari segi itu supaya lebih berbaloi dengan kerja kami.
“Kadang-kadang untuk jarak 10KM hingga 12KM hanya dapat RM4 – RM6,” ujarnya.– MalaysiaGazette















