Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

KUALA LUMPUR – Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dengan membocorkan maklumat operasi ketenteraan kini ditempatkan di markas pentadbiran masing-masing dan dikecualikan daripada sebarang penglibatan operasi.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia merupakan antara langkah kawalan dan pemerkasaan yang diambil ATM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis serta agensi keselamatan lain bersabit kes tersebut.

Dalam masa sama, ujar beliau, ATM juga memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan kes itu dapat ditangani dengan telus dan menyeluruh.

“Selain itu, ATM juga melaksanakan Lembaga Siasatan dalaman terhadap isu kebocoran maklumat yang didakwa berlaku,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Adly (PH-Alor Gajah) menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berhubung langkah-langkah yang diambil Kementerian Pertahanan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat ekoran pendedahan media tentang penjualan maklumat keselamatan taktikal negara oleh lima orang pegawai ATM kepada pihak luar.

Menjelaskan lebih lanjut, Adly berkata, dari sudut pemulihan keyakinan rakyat susulan kejadian itu juga, beberapa langkah turut diambil seperti menekankan aspek kesedaran keselamatan dan pematuhan prosedur ATM termasuk memperkukuh Unit Integriti di setiap formasi dan perkhidmatan.

Selain itu, katanya, ATM sedang mempergiatkan program-program didikan keselamatan, etika dan integriti bagi warganya selain menegaskan tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota sekiranya terbukti bersalah.

“Dalam hal ini, Kementerian Pertahanan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa demi memastikan semua pihak mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi oleh pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Siasatan awal mendapati, pegawai ATM itu menjadi suspek utama yang disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast