KUALA LUMPUR – Tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka di Malaysia telah menimbulkan polemik hangat dalam kalangan masyarakat terutama umat Islam yang melihat tindakan itu sebagai mencabar sensitiviti agama dan nilai kemanusiaan sejagat.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutan menegaskan, secara umumnya, bendera atau panji berperanan sebagai simbol utama yang mewakili kedaulatan, identiti serta nilai-nilai sesebuah entiti, sama ada negara, kerajaan mahupun kumpulan.
Lazimnya perbuatan mengibarkan bendera secara terbuka ditafsirkan sebagai suatu bentuk pengiktirafan, penghormatan dan kecintaan terhadap entiti yang diwakilinya.
“Namun dalam konteks hubungan antarabangsa, tindakan mengibarkan bendera negara lain – khususnya bendera Israel di khalayak ramai telah mencetuskan pelbagai persoalan serta reaksi negatif.
“Hal ini kerana, bendera berkenaan bukan sahaja melambangkan sebuah negara malah turut mewakili ideologi Zionisme yang sinonim dengan kekejaman, penjajahan dan penindasan terhadap rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyatan di Facebook.
Menurut pejabat Mufti WP lagi, bagi umat Islam, bendera rejim Zionis bukan sekadar simbol politik tetapi turut mencerminkan penderitaan dan kezaliman yang berpanjangan terhadap saudara seagama di bumi Palestin.
Tambahan pula, katanya, tindakan sedemikian dilihat bertentangan dengan dasar tegas kerajaan Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel serta konsisten memperjuangkan solidariti bersama rakyat Palestin.
Rentetan senario ini, masyarakat menuntut penjelasan lebih mendalam daripada pihak berwajib, khususnya dari perspektif syarak, mengenai kewajaran dan kesan hukum tindakan mengibarkan bendera Israel di negara ini.
Perdebatan ujarnya, turut tertumpu kepada sama ada tindakan tersebut boleh dianggap sebagai bentuk sokongan tidak langsung terhadap ideologi Zionis yang jelas bertentangan dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Sehubungan itu, para ilmuwan agama, pakar undang-undang serta pemimpin masyarakat disaran tampil memberikan pencerahan bagi memastikan isu berkenaan tidak terus menimbulkan kekeliruan serta ketegangan dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette
















