MetMalaysia
MetMalaysia

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan enam negeri pagi ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan jam 8 pagi, MetMalaysia memaklumkan keadaan cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 10 pagi ini.

Antara negeri yang terlibat ialah Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.

“Kawasan yang dijangka terkesan termasuk Langkawi di Kedah serta beberapa daerah di Perak seperti Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

“Di Selangor, kawasan Sepang dijangka mengalami ribut petir manakala di Negeri Sembilan, amaran sama dikeluarkan bagi daerah Port Dickson,” demikian menurut amaran tersebut.

Di Borneo, kawasan terlibat ialah Miri di Sarawak meliputi Subis, Beluru, Miri dan Marudi. Di Sabah pula, ribut petir dijangka berlaku di daerah Kudat termasuk Pitas dan Kudat.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat serta gangguan aktiviti harian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh amaran dan memantau laporan cuaca terkini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia turut mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati kerana keadaan jalan licin dan jarak penglihatan yang terhad boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Amaran ribut petir ini dikeluarkan dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan cuaca semasa dan dijangka akan dikemaskini sekiranya keadaan bertambah buruk. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast