Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tidak akan membiarkan mana-mana penerima bantuan subsidi kerajaan yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai aduan penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA)

“Saya memberi jaminan bahawa SARA adalah hak rakyat, dan kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan SARA akan dipulangkan semula kepada penerima yang terlibat setelah disahkan melalui siasatan.

Bagaimanapun, pemegang MyKad perlu membuat laporan polis dan Kementerian Kewangan (MOF) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh untuk mengenal pasti punca serta memastikan hak penerima dikembalikan.

Tambah beliau, KDN melalui JPN dan MOF kini sedang bekerjasama rapat untuk menyelesaikan isu teknikal berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad, supaya pusingan seterusnya penyaluran subsidibersasar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

Antara langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk pemadanan data MyKad yang dikemas kini secara berkala, semakan versikad bagi mengelakkan salah guna penebusan, serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN.

“Kerajaan Madani komited memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dilaksana secara telus, selamat dan adil. KDN bersama MOF terus menambah baik sistem pengesahan identiti dan keselamatan data agar setiap sen bantuan dikembalikan kepada rakyat yang layak — tanpa gangguan, tanpa penyelewengan dan tanpa kehilangan hak,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast