Yeo Hock Seong

KUANTAN – Seorang pengarah syarikat penjualan rokok elektronik (vape) dan pengurus stesen minyak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menjual bahan merokok dan produk tembakau bersama barang lain sebagai hadiah.

Yeo Yeong Nian, 43, dan Yeo Hock Seong, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Wahida Zainal Abidin.

Mengikut kertas pertuduhan, Yeong Nian didapati menjual bahan merokok bersama suatu barang sebagai hadiah pukul 11.25 pagi pada 18 Disember 2024 di kedai SP2S di sebuah kompleks pasar raya di sini.

Yeo Yeong Nian

Sementara itu, Hock Seong pula didakwa menjual produk tembakau bersama suatu barang iaitu pemetik api sebagai pemberian.

Kesalahan itu dilakukannya pada pukul 1.20 petang pada 19 April 2025 di sebuah stesen minyak di sini.

Bagi kesalahan berkenaan, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (1) (a) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) (b) (i) akta sama.

Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Azlir Hasan ketika hujahnya memohon agar denda dengan kadar tinggi dikenakan mengambil kira perbuatan menawarkan hadiah untuk pembelian bahan merokok menarik minat orang awam terutamanya golongan muda untuk terjebak dalam aktiviti yang memudaratkan kesihatan itu.

Mahkamah kemudian mengenakan denda sebanyak RM20,000 terhadap Yeong Nian dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda manakala RM5,000 dikenakan terhadap Hock Seong dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast