KUANTAN – Seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) maut setelah motosikal dinaikinya terbabit kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran susur persimpangan Semambu, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian pada pukul 8.20 pagi itu turut membabitkan sebuah lori rigid syarikat pembersihan sampah swasta.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua kenderaan dari arah Balok menghala ke arah bandar Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika lori itu sedang bergerak di lorong kiri, motosikal dinaiki mangsa yang sedang bergerak di bahu jalan (lorong kecemasan) dipercayai telah melanggar bongkah kayu lalu hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ashari, motosikal ditunggang mangsa kemudian terbabas lalu masuk ke bawah lori berkenaan menyebabkan berlaku perlanggaran.
Ekoran kemalangan itu, mangsa, Saiful Edry S Sapari, 19 telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.
Beliau berkata, tiga individu iaitu pemandu dan dua penumpang hadapan lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















