GEORGE TOWN – Laluan Warisan Bukit Bendera ditutup sementara kepada orang awam akibat tanah runtuh di salah satu bahagiannya susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan namun langkah penutupan diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung dan pendaki.

“Pasukan penyelenggaraan kami sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan di lokasi terbabit bagi memastikan kawasan berkenaan kembali selamat untuk digunakan.

“Pengunjung dan pendaki dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan tersebut sehingga dimaklumkan semula, sementara pemantauan rapi diteruskan dari semasa ke semasa.

“Kita akan terus memantau keadaan dengan teliti serta mengambil semua langkah keselamatan yang perlu demi memastikan keselamatan orang awam,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan dan laluan dijangka dibuka semula selepas pihak berkuasa mengesahkan keadaan benar-benar selamat.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya kini melaksanakan pemantauan di 53 lokasi hotspot banjir yang dikenal pasti di lima daerah di negeri itu.

Kawasan berisiko itu meliputi Seberang Perai Utara (6 lokasi), Seberang Perai Tengah (18), Seberang Perai Selatan (6), Timur Laut (10) dan Barat Daya (13).

“Pemantauan di kawasan hotspot akan dilakukan dari semasa ke semasa, terutama jika berlaku hujan lebat berterusan atau kenaikan paras air sungai yang berpotensi menyebabkan banjir,” katanya hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast