KUANTAN – Seorang pemandu lori ditinggalkan di tepi jalan manakala lori treler muatan besi ‘Y’ dipandunya disamun dan dilarikan tiga individu dalam kejadian jam 10 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa berusia 37 tahun ditemukan dalam keadaan mata ditutup dengan pita pelekat hitam serta tangan diikat dengan ‘cable tie’ di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub.
“Hasil siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, mangsa memandu lori treler itu dalam perjalanan dari Balakong, Selangor menghala ke Gua Musang, Kelantan.
“Ketika kejadian, mangsa berhenti rehat di warung makan sempadan Bentong-Raub untuk mandi dan menukar pakaian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bagaimanapun, Mohd Shahril berkata, mangsa didatangi dua lelaki berbangsa India dan seorang lelaki Melayu setelah dia selesai mandi.
Katanya, suspek kemudian mengikat tangan mangsa sebelum mendorongnya masuk ke dalam sebuah kereta.
Mangsa memberitahu dia diturunkan dan ditinggalkan di tepi jalan di lokasi berkenaan setelah sejam berada didalam kereta terbabit.
“Ketika kejadian, mangsa berseorangan dan mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan akibat daripada kejadian itu,” jelasnya.
Justeru, Mohd Shahril menyeru saksi kejadian atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian agar tampil ke IPD Raub bagi membantu siasatan.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau dalam masa sama menasihati orang awam agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling serta kehadiran orang luar yang mencurigakan. – MalaysiaGazette
















