BAYAN LEPAS – Kejadian serpihan konkrit setebal hampir lapan sentimeter jatuh dari tingkat 12 sebuah bangunan pejabat di Persiaran Kelicap di sini hari ini mencetuskan kebimbangan penghuni walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Insiden berlaku kira-kira 12.21 tengah hari apabila bahagian dinding bangunan berkenaan dikatakan runtuh dan jatuh ke laluan di bawah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, pasukan bomba segera ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba, kami dapati serpihan konkrit dari bahagian dinding bangunan jatuh ke atas laluan di kawasan itu. Pasukan penyelamat menjalankan pemeriksaan dan penilaian awal sebelum membuat pemantauan keselamatan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mohamad Hirman, kawasan terjejas turut dipasang sawar keselamatan selain pengosongan sementara bangunan dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Khidmat nasihat turut diberikan kepada penghuni agar tidak berada berhampiran kawasan terlibat. Kawasan itu diserahkan kepada pihak penyelenggaraan bangunan dan dikosongkan sehingga kerja pembaikan selesai,” katanya.
Difahamkan, beberapa kenderaan diletakkan berdekatan lokasi kejadian namun hanya satu daripadanya terjejas akibat serpihan tersebut. – MalaysiaGazette















