PUTRAJAYA – Kerajaan diharap mempertimbangkan pemberian automatik tambahan sehingga 1,400 liter subsidi petrol sebulan menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pemandu e-hailing dan p-haling sama seperti yang diberikan kepada pemandu teksi.
Menurut Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), M Nathan, pemberian subsidi tambahan sebanyak 300 liter yang diterima pemandu e-haling dan p-hailing ketika ini adalah tidak mencukupi sedangkan pemandu teksi menerima lebih daripada itu.
Jelas beliau, pelaksanaan subsidi BUDI95 yang diberikan oleh kerajaann dilihat tidak selari dengan kos operasi sebenar pekerja gig.
Katanya, perkara itu telah memberi tekanan secara langsung kepada mereka berikutan pekerjaan sebagai pemandu perkhidmatan sememangnya berada di atas jalan dan bukan duduk di pejabat.
“Kami ingin menyuarakan kebimbangan serius mengenai pelaksanaan program subsidi BUDI95 yang tidak selari dengan kos operasi sebenar pemandu gig dan memberi tekanan langsung terhadap kos sara hidup.
“Terdapat ketidakseimbangan subsidi antara pemandu teksi dan pemandu e-hailing walaupun kedua-duanya mempunyai kategori sama iaitu berstatus perkhidmatan pengangkutan awam, memegang lesen PSV, EVP, mematuhi Puspakom dan klasifikasi kenderaan AH serta dikawal selia mengikut garis panduan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghantar memorandum berkaitan perkara tersebut di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Sementara itu, rata-rata pemandu gig yang ditemui turut menyatakan perkara sama meminta kerajaan agar mempertimbangkan isu yang dibangkitkan kerana menggangapnya sebagai perkara penting yang perlu diberi perhatian.
Pemandu e-hailing, I. Amar Jeetha, 62, berkata, dia terpaksa menggunakan kuota subsidi peribadi untuk menampung perbelanjaan pembeliaan RON95 yang sepatutnya digunakan sendiri.
Katanya, dia terpaksa berbuat demikian kerana pekerjaannya mendesak untuk dia berkorban subsidi peribadi untuk menghantar penumpang.
“Saya terpaksa guna subsidi peribadi ini sebagai tambahan beli petrol untuk ambil penumpang. Jika tidak saya tak boleh buat kerja,” katanya.

Mohamad Sakroji Abbas, 64, yang juga pemandu p-hailing pula berkata, isu berkaitan subsidi ini sepatutnya diberikan oleh Kementerian Kewangan kepada semua pemandu yang memberikan perkhidmatan sama ada sebagai pemandu ataupun penghantar dan bukannya dimohon oleh mereka.
Ujarnya, disebabkan kuota yang ada tidak mencukupi ada hari-hari tertentu yang dia tidak keluar untuk mencari nafkah semata-mata untuk menjimatkan kuota yang ada bagi tujuan kecemasan dan sebagainya.
“Kalau nak diikutkan sekarang ini yang saya gunakan adalah kuota untuk saya sendiri (peribadi). Itu pun dah nak habis dan tinggal berapa ringgit saja lagi.
“Memang tak cukuplah kuota yang ada dan kami minta pihak kerajaan tolonglah pertimbangkan perkara ini.
“Saya yakin pihak yang berkenaan sudah tentu telah melakukan kajian lebih awal sebelum subsidi bersasar ini dilaksanakan. Namun apa yang berlaku kami sendiri telah rasai,” tambannya.
Bagi K. Kishore, 52, pula, beliau berpendapat, pengagihan BUDI RON95 oleh kerajaan sememangnya tidak mencukupi dan perlu ditambah.
Beliau mendakwa, terdapat pemandu yang telah melengkapkan perjalanan 3,000 kilometer dan sepatutnya diberikan tambahan kuota sebagaimana yang disyaratkan namun, masih ada juga diantara mereka yang tidak dapat kuota subsidi tambahan tersebut.

“Kami tidak faham, apakah mekanisme yang digunakan Kementerian Kewangan termasuk APAD. Pihak tersebut sudah semestinya mendapat data daripada pihak e-hailing dan p-hailing.
“Apa yang kami tahu mekanisme yang dtentukan oleh Kementerian Kewangan adalah melengkapkan 3,000 kilometer perjalanan pada bulan sebelumnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















