Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Menteri Besar SG4 yang dianggotai negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan, semua sumber mineral nadir bumi (REE) yang terdapat dalam sempadan negeri masing-masing adalah hak milik kerajaan negeri.

Menurut kenyataan bersama SG4, perkara itu selaras dengan peruntukan di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Empat negeri di bawah SG4 kini mewakili kira-kira 70 peratus sumber REE terbesar di Malaysia.

“SG4 komited memastikan hasil kekayaan bumi ini diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Tambah kenyataan itu, setiap negeri di bawah SG4 kini melaksanakan kajian terperinci dan membangunkan pelan strategik pengurusan serta pembangunan REE secara bersepadu.

Pelan tersebut merangkumi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan.

“Polisi semasa juga menegaskan bahawa mineral kritikal ini perlu kekal berada dalam negeri SG4 dengan menggalakkan penyertaan industri tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” jelasnya.

SG4 turut menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem industri nadir bumi Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran.

Bagaimanapun, SG4 menegaskan, setiap perancangan nasional perlu mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan mesti dilaksanakan melalui libat urus rasmi dengan kerajaan negeri.

SG4 turut menegaskan, kesediaan  untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.

Bagaimanapun, majlis itu mengingatkan agar pengalaman pahit berhubung isu royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE.

“Pengurusan dan pembahagian hasil mesti berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang,” tegas kenyataan itu.

Dalam pada itu, SG4 berpandangan pembangunan industri REE perlu dilaksanakan di negeri pemilik sumber supaya limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan turut dinikmati rakyat setempat.

Katanya, hasil negeri tidak seharusnya terhad kepada pembayaran royalti semata-mata tetapi perlu melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan serta pemindahan teknologi yang jelas kepada negeri dan rakyatnya.

“SG4 juga menggesa agar sebarang pelan pembangunan REE di peringkat nasional dan rundingan antarabangsa menghormati hak negeri serta melibatkan wakil negeri sumber dalam semua peringkat perancangan dan pelaksanaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast