Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin pada Program Menembak Bersama SPRM Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang hari ini.

KAJANG – Skuad Taktikal Khas (ACTS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperanan sebagai barisan hadapan bagi menghadapi operasi berisiko tinggi seperti Op Karen dan Ops Metal.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, ACTS ditubuhkan bagi melumpukkan jenayah penyeludupan diesel serta besi buruk sekali gus memperkukuh keupayaan operasi.

“ACTS telah menjalani latihan intensif di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ulu Kinta di Perak pada Februari 2024.

“Skuad ini merupakan barisan hadapan dalam operasi berisiko tinggi yang menuntut ketahanan fizikal, disiplin mental serta kesediaan menghadapi sebarang bentuk ancaman.

“Antara operasi penting yang disertai pasukan ACTS termasuk Op Metal iaitu serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi buruk dan bahan sampah elektronik (e-waste) di beberapa negeri selain Op Karen,” katanya.

Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang,

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Menembak Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Zuhairie Abu Bakar.

Tambah Saiful Ezral, penugasan ACTS dijalankan bersama agensi lain di bawah Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF).

Ia melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Laut Malaysia.

“Kejayaan operasi-operasi ini membuktikan SPRM bukan sahaja komited daripada segi siasatan dan pencegahan tetapi juga dalam kesiapsiagaan taktikal dan keselamatan operasi.

“Operasi-operasi besar dan kompleks membabitkan sindiket ini juga dapat dilaksanakan dengan jayanya menerusi kerjasama antara agensi melalui penubuhan MATF,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast