Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di perkarangan mahkamah bagi sebutan rujukan isu perlembagaan berkaitan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, membenarkan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin memulakan semakan kehakiman untuk mencabar pembekuan dan penyitaan akaun bank oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Aliza Sulaiman membenarkan permohonan keluarga bekas Menteri Kewangan itu selepas berpuas hati pemohon berjaya melepasi ‘ambang’ (threshold) yang tinggi seperti yang dihujahkan oleh peguam pemohon.

Mahkamah berpuas hati bahawa permohonan keluarga itu dikemukakan atas niat baik. Sehubungan itu, beliau berpendapat isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman perlu diselesaikan melalui perbicaraan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 November ini bagi pengurusan kes.

Semasa prosiding, keluarga Allahyarham Daim selaku pemohon diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan bertindak bagi pihak kerajaan dan lima yang lain sebagai responden.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mewakili Allahyarham suaminya bersama empat anak serta 18 syarikat yang berkaitan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, SPRM dan kerajaan.

Mereka memohon perintah untuk membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih itu yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sebanyak 18 syarikat juga dinamakan sebagai pemohon iaitu Aad Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Maluri Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn. Bhd.

Semua pemohon menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM, Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga keenam.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan penyitaan harta alih yang dikenakan SPRM mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA dan semua tindakan serta keputusan diambil responden pertama hingga keempat adalah tidak sah dan terbatal.

Ia adalah kerana menurut pemohon, tindakan itu melanggar hak perlembagaan mereka, menyalahi undang-undang, dibuat dengan berniat jahat (mala fide) dan penyalahgunaan proses undang-undang serta kuasa oleh responden pertama hingga keempat.

Mereka turut memohon satu perintah supaya ganti rugi dan kos untuk ditaksirkan menurut Seksyen 44 (6) AMLATFPUAA, ganti rugi am dan teladan, kos serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, Na’imah melalui afidavit sokongan bagi menyokong permohonan itu berkata, mereka sekeluarga terjejas berikutan tindakan SPRM menyita akaun terbabit.

Dakwa Na’imah, keputusan dan tindakan itu disengajakan untuk menyasarkan beliau dan keluarganya, dengan mendakwa mereka sekeluarga korup dan membuat kekayaan dengan cara yang salah di sisi undang-undang.

Katanya, beliau dinasihati oleh peguam dan percaya bahawa segala keputusan serta tindakan SPRM adalah bagi tujuan sampingan politik semata-mata dan mereka (keluarga) tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan AMLATFPUAA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast