Salah satu acara sempena Karnival Ban Canal 2025 di Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Karnival Ban Canal 2025 kembali sebagai acara komuniti berimpak tinggi yang meraikan keindahan alam semula jadi, keunikan budaya dan kekayaan warisan pertanian Sabak Bernam.

Karnival Ban Canal yang merupakan antara projek utama Sabak Bernam Development Area (SABDA) oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI dan rakan-rakan strategik mensasarkan 20,000 pengunjung bagi edisi tahun 2025.

Berlangsung selama tiga hari iaitu pada 7 hingga hari ini – karnival yang bermula pada tahun 2022 itu telah diiktiraf sebagai acara pelancongan terkemuka – apabila berjaya merangkul anugerah Best Tourism Event dalam Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 (Tourism Industry Award 2025) anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).

Pengiktirafan berprestij mengesahkan komitmen SABDA, MBI dan rakan strategik terhadap pembangunan pelancongan lestari, penglibatan komuniti serta pemeliharaan alam sekitar di Sabak Bernam.

Karnival itu berperanan sebagai platform strategik memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian di samping memastikan pemeliharaan biodiversiti dan kesejahteraan komuniti setempat.

Ia juga merupakan salah satu projek pemangkin SABDA, seiring dengan pembangunan Sekinchan Integrated Landing Port (SILP) dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang.

Bertemakan “Alam. Budaya. Lestari”, Karnival Ban Canal 2025 menekankan sinergi antara pembangunan ekonomi, pemeliharaan warisan budaya dan kelestarian alam sekitar, kata satu kenyataan.

Penganjuran yang sama menyokong aspirasi menjadikan Sabak Bernam dan daerah sekiranya sebagai Rizab Biosfera UNESCO, sejajar dengan komitmen negeri Selangor terhadap pembangunan lestari.

Lokasi karnival yang terletak di sepanjang Terusan Ban Canal sejauh 30 kilometer telah dibina sejak era penjajahan British bagi pengairan sawah padi kini diangkat sebagai simbol warisan sejarah, ekologi dan pertanian yang signifikan kepada daerah Sabak Bernam.

Karnival Ban Canal turut menampilkan pelbagai program menarik seperti persembahan kebudayaan, pertandingan sukan air, Larian Santai @Bendang, festival makanan, jualan produk tempatan, pameran agro dan eko-tani, serta kempen kesedaran hijau.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menganggap penganjuran karnival berkenaan adalah langkah strategik memperkenalkan keunikan warisan pertanian dan ekologi Selangor khususnya Sabak Bernam kepada dunia sekali gus memupuk kesedaran terhadap pentingnya konsep pembangunan hijau dan lestari.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa merasmikan Karnival Ban Canal 2025 di Sabak Bernam semalam.

“Melalui inisiatif ini, kita berharap dapat memanfaatkan potensi ekopelancongan dan agropelancongan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan, memperkukuh kesejahteraan komuniti desa serta menyumbang kepada ekonomi negeri, menjaga kelestarian biodiversiti dan warisan budaya tempatan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut Amirudin, kejayaan acara itu akan memperlihatkan sinergi erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan serta mengukuhkan cita-cita negeri Selangor menjadi negeri hijau, makmur dan berdaya tahan infrastruktur dan alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast