KUALA LUMPUR – Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) berharap selepas menamatkan program Work Based Learning (WBL), para pelajar akan mudah diambil bekerja dengan gaji yang kompetitif atau lebih tinggi daripada purata pasaran.
Ia juga diharap mengurangkan mismatch antara kemahiran graduan dan kehendak industri yang selama ini menjadi cabaran utama, kata Ketua Pegawai Eksekutif GITC, Jamil Bakri.
“Usaha memperkukuh program WBL ini juga bertujuan untuk meningkatkan jumlah syarikat yang menyediakan tempat latihan atau placement bagi pelajar TVET.
“Semua institusi TVET diarahkan untuk menghantar pelajar mereka ke industri yang sesuai dan strategik bagi memaksimumkan impak positif kepada ekonomi negara” katanya.
GITC semalam telah mengadakan mesyuarat lembaga terakhir bagi tahun 2025 bertempat di Royale Chulan Damansara.
Mesyuarat kali ini merupakan titik penting dalam usaha mengukuhkan hubungan antara industri dan institusi pendidikan di bidang TVET (Pendidikan Teknikal dan Vokasional).

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut Pengerusi GITC, Tan Sri Soh Thian Lai, Ahli Lembaga Pengarah GITC, Datuk J. Palaniappan dan barisan pengurusan tertinggi GITC.
Satu sesi libat urus bersama wakil-wakil industri dan institusi TVET juga turut diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Dalam pada itu, menurut Jamil, Malaysia kini bergerak menuju status negara berpendapatan tinggi dan di sinilah peranan signifikan GITC dalam menyelaraskan penawaran graduan TVET yang terlatih dan berkemahiran dengan permintaan industri, dengan sasaran sekurang-kurangnya 35% tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Sesi libat urus ini juga melibatkan perbincangan dengan wakil industri untuk mendapatkan maklum balas dan idea terbaru yang boleh dijadikan asas untuk memperkukuh kerjasama antara industri dan kerajaan.
“Fokus utama adalah meningkatkan impak TVET di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Inisiatif kerjasama itu dipercayai dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan TVET, menggalakkan pengambilan pekerja berkemahiran dalam industri serta memacu negara ke tahap kemajuan yang lebih tinggi di masa hadapan. – MalaysiaGazette















