BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi selepas merampas lebih 5.7 tan minyak dalam serbuan sebuah gudang di Sungai Jawi, Nibong Tebal semalam.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan dalam serbuan kira-kira 8.30 malam itu.
Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan modus operandi memindahkan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan paket 1 kilogram (kg) ke dalam tong berwarna biru berkapasiti 150 liter.
“Semasa serbuan, kita mendapati aktiviti memotong pek minyak masak 1 kilogram sebelum dipindahkan ke dalam tong biru 150 liter menggunakan peralatan khas.
“Pemeriksaan lanjut menemui 5,720 kilogram minyak masak pek 1 kg, 25 botol kosong 5 kg, sejumlah plastik kosong pek 1 kg pelbagai jenama serta dua tong biru yang dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak.

“Turut disita sebuah pam dan sembilan gunting, dengan nilai rampasan keseluruhan RM16,892,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan KPDN Bukit Minyak hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, modus operandi sindiket ialah memindahkan minyak subsidi ke dalam botol 5 kg untuk dijual pada harga RM30.90 sebotol dengan keuntungan lebih RM15 setiap botol.
”Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sindiket ini memperoleh bekalan daripada mana namun kita tidak menolak kemungkinan ia daripada pembekal negeri ini serta Perak berdasarkan jenama pada paket minyak tersebut.
“Selain itu siasatan lanjut juga mendapati gudang itu beroperasi sejak tiga bulan lalu tanpa lesen atau permit sah bagi menguruskan barang kawalan berjadual.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















