Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyambut baik pengumuman Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengenai peruntukan RM30 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Stesen KTM Butterworth, Pulau Pinang.

Naik taraf ini bukan sahaja meningkatkan imej perkhidmatan rel di wilayah utara, malah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara negeri terkehadapan dalam pembangunan hab mobiliti moden dan mampan di Malaysia.

Ketua Pegawai Teknikal KTMB (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan), Tn. Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, inisiatif ini selaras dengan hala tuju KTMB untuk memperkukuh jaringan perkhidmatan rel yang lebih
selesa, mudah diakses dan bersepadu dengan sistem pengangkutan lain.

“Stesen Butterworth mempunyai peranan strategik sebagai pintu masuk utama ke utara Semenanjung, menghubungkan pengguna dari seluruh negara ke Pulau Pinang melalui pelbagai mod pengangkutan darat dan laut. Dengan penambahbaikan infrastruktur ini, KTMB yakin pengalaman pelanggan dapat ditingkatkan seiring dengan matlamat negara ke arah sistem pengangkutan awam bertaraf dunia,” katanya.

Setakat Oktober 2025, Stesen Butterworth merekodkan 1.2 juta penumpang Komuter Utara dan 497,726 penumpang ETS yang menggunakan stesen ini sebagai destinasi pilihan mereka.

KTMB turut memperkenalkan Ruby Lounge di Stesen Butterworth pada Jun 2025, sebagai ruang menunggu eksklusif dengan kemudahan tambahan bagi meningkatkan pengalaman pengguna, khususnya penumpang ETS.

Antara aspek utama naik taraf lain termasuk kemudahan penumpang yang lebih mesra pengguna, integrasi sistem tiket dan akses, ruang menunggu serta kemudahan untuk OKU.

Ia turut menyokong peranan Stesen Butterworth sebagai hab sambungan utama antara perkhidmatan ETS, Komuter Utara, tren barang, feri serta terminal bas berdekatan.

Tambahnya, naik taraf Stesen Butterworth mencerminkan kesungguhan bersama untuk menjadikan rel sebagai tunjang sistem mobiliti masa depan negara yang lebih hijau, efisien dan inklusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast