Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menghargai tindakan Universal Music Malaysia yang dengan berhemah dan penuh rasa tanggungjawab menurunkan semula muzik video (MV) Dolla daripada semua platform rasmi mereka.

Menurut beliau, tindakan itu mencerminkan keikhlasan dan kepekaan hati pihak industri terhadap suara masyarakat serta nilai yang dipelihara bersama.

Ujarnya, semua pihak sama ada penggiat seni mahupun masyarakat umum sedang memikul amanah untuk membina sebuah ekosistem yang bukan sahaja subur dengan kreativiti, tetapi juga dipayungi adab, kesantunan dan rasa hormat.

Tambah beliau, ia selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan Transformasi Al-Falah yang mengangkat keseimbangan antara jiwa seni dan nilai murni.

“Dengan penuh ketulusan, saya mengucapkan terima kasih kepada Universal Music Malaysia atas kerjasama dan keterbukaan mereka.

“Semoga langkah ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga industri hiburan untuk terus berkarya dengan hati yang lebih halus, penuh rasa tanggungjawab dan kasih terhadap masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Universal Music Malaysia menurunkan muzik video terbaharu Dolla yang berjudul Question selepas menerima maklum balas orang ramai mengenai penampilan ahli kumpulan yang kurang sopan.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, langkah itu diambil selepas penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan serta melihat kepada maklum balas masyarakat.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, dalam dunia seni, kreativiti adalah denyut nafkah dan ia tidak salah, bahkan sangat indah.

Namun, ujar beliau, keindahannya akan lebih bersinar apabila disulam dengan kelembutan budi, nilai ketimuran dan sensitiviti kepada perasaan masyarakat.

“Di situlah seni bukan sekadar hiburan tetapi menjadi wahana yang menyatukan hati dan memuliakan budaya kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast