Dua beradik antara tiga lelaki warga Myanmar direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tikam seorang tukang masak wanita di Juru, Pulau Pinang semalam.

BUKIT MERTAJAM – Dua beradik antara tiga lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang tukang masak wanita warga Myanmar mati ditikam dalam kejadian di sebuah restoran masakan ala Thai di Lorong Bukit Juru di sini, semalam.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga warga Myanmar itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah bermula hari ini sehingga 23 November depan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 30 tahun dan abangnya 34 tahun serta rakan mereka itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 8.45 pagi dalam keadaan tangan bergari serta berbaju lokap oren dengan diiringi anggota polis bagi mendapatkan permohonan reman.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek ketiga berusia 50 tahun yang ditahan bersama dua beradik itu berperanan sebagai transporter yang cuba membawa mereka melarikan diri.

ARTIKEL BERKAITAN

Tukang masak mati ditikam dipercayai akibat makanan tak sedap

Media terdahulu melaporkan, pertengkaran antara seorang tukang masak warga Myanmar dengan pelanggannya selepas makanan yang dihidangkan didakwa tidak sedap berakhir dengan tragedi apabila wanita berkenaan maut ditikam di sebuah restoran masakan ala Thai di Lorong Bukit Juru di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Manakala suaminya, yang juga warga Myanmar berusia lewat 40-an cedera pada anggota badan, sementara seorang lagi lelaki yang merupakan rakan suspek turut mengalami kecederaan akibat ditikam dalam kejadian sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast