Arni Sabrina (kiri) bersama menantunya, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, ketika ditemui pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Keluarga Allahyarham Elmi Nu Zamani Aizat Azim yang ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang menafikan dakwaan masalah rumah tangga sebagai punca kejadian tersebut.

Ibu mangsa, Arni Sabrina Yahya, 46, berkata, komen dan spekulasi yang bertebaran di media sosial hanya menambah kesedihan mereka ketika masih berdepan kehilangan mengejut itu.

“Tiada krisis antara arwah dan isterinya..kalau hal kecil-kecil dalam rumah tangga tu biasa, jadi jangan komen yang bukan-bukan di saat kami sedang bersedih,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Arni Sabrina, arwah, 25, merupakan anak sulung daripada enam beradik dan seorang yang ceria serta berhati tenang.

Katanya, anaknya juga tidak pernah bersikap biadab terhadap orang tua dan sentiasa menjaga tutur kata.

“Sehari sebelum kejadian, arwah turut membuat panggilan video dan sempat berpesan: “Along sayang ibu, jaga diri ibu.

“Malah pada hari kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, arwah telefon memaklumkan mahu membasuh pakaian dan dia menunggang motosikal kerana cermin keretanya pecah serta belum dibaiki.

“Mak cik ambil bungkusan baju yang ditemui di tepi tembok jambatan tu.. bau wangi dan pakaian masih basah,” katanya dalam nada sebak.

Tambah Arni Sabrina, jenazah anaknya akan dikebumikan di Perkuburan Islam Lahar Tabut, Penaga.

Mayat Elmi Nu Zamani yang dilaporkan terjatuh di Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai, Ahad lalu ditemui dalam keadaan terapung berhamipran jeti di  Pengkalan Weld di sini, jam 9.35 pagi tadi.

Mayat mangsa dijumpai masih lengkap berpakaian seluar jeans dan kemeja-T berwarna putih, setelah hampir 40 jam kehilangannya dilaporkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast