KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan
Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penahanan tiga lelaki warga Jepun, semalam.
Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), lelaki terbabit tiba dari Bangkok, Thailand melalui penerbangan Malaysia Airlines, MH781.
“Kejadian berlaku sekitar jam 1.45 pagi di Balai Ketibaan ntarabangsa KLIA apabila pegawai AKPS mengesan imej mencurigakan melalui mesin imbasan bagasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, semasa pemeriksaan fizikal ke atas salah satu daripada enam bagasi dan beberapa beg galas, pegawai AKPS menemukan bahan dipercayai dadah jenis kokain yang diselindungkan dengan menutupi bungkusan tersebut menggunakan ikan bilis dan udang kering, serta dibungkus secara vakum bagi mengaburi pengesanan.
Hasil pemeriksaan keseluruhan bagasi turut mengesahkan bahawa kesemua enam bagasi tersebut mengandungi barangan terlarang iaitu dadah-kokain yang keseluruhannya seberat
12 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta yang menggunakan kaedah penyamaran yang sama.

“Kesemua suspek telah ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes ini telah diserahkan sepenuhnya kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan
lanjut,” ujarnya.
AKPS katanya, kekal komited memperkukuh pemantauan keselamatan dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan pintu masuk negara sentiasa terlindung daripada ancaman penyeludupan, khususnya melibatkan dadah berbahaya. – MalaysiaGazette















