KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam usaha meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja serta memastikan pihak-pihak terlibat menghormati gencatan senjata, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut beliau, keadaan semasa adalah rumit dan tidak mudah ditangani, namun Malaysia komited meneruskan pendekatan diplomasi ketenteraan dengan mengekalkan saluran komunikasi antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak tentera negara terbabit.
“Keadaannya memang rumit, memang tak mudah. Malaysia akan terus berusaha untuk menjadi fasilitator, sentiasa berhubung antara panglima Angkatan Tentera kita dengan tentera mereka supaya menghormati gencatan-gencatan, supaya dapat dikurangkan konflik dan sebagainya.
“Dan ini merupakan satu usaha berterusan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Persiapan Operasi Murni (Op Murni) ATM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Kem Kementah, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut bukan sahaja sedang berjalan, malah merupakan komitmen berpanjangan Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kestabilan serantau.
“Itu memang ada dan sedang dilaksanakan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) kini berada di lapangan secara berterusan untuk memantau perkembangan terkini.
Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata di sepanjang sempadan mereka dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Bagaimanapun, kerajaan Thailand sebelum ini menggantung pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja, susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan dua anggota tentera Thai berhampiran sempadan awal bulan ini.
Perjanjian yang dimeterai di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu dengan pemantauan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertujuan menamatkan permusuhan berpanjangan selepas pertempuran sempadan pada Julai yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk kedua-dua negara dipindahkan. – MalaysiaGazette
















