Fadhlina

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Fadhlina Sidek menegaskan kerajaan tidak pernah bercadang memansuhkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sambil menyifatkannya sebagai kelayakan tamat persekolahan paling penting di negara ini.

Kata beliau, kekeliruan timbul selepas pemansuhan UPSR dan PMR yang tidak wajar dikaitkan dengan SPM kerana fungsi penilaian tersebut berbeza.

“UPSR adalah peperiksaan, manakala PT3 pula berbentuk penilaian berterusan. Kerajaan tidak ada hasrat untuk memansuhkan SPM. Ia adalah pensijilan tertinggi dalam sistem persekolahan Malaysia.

“KPM sedang berusaha untuk mencapai keseimbangan antara pentaksiran berterusan dan standard peringkat kebangsaan,” katanya dalam podcast Kerusi Biru baru-baru ini.

Dalam pada itu, katanya, penilaian tidak lagi bergantung semata-mata kepada peperiksaan kerana setiap murid memiliki bakat dan kecenderungan berbeza yang perlu dikenal pasti dengan lebih menyeluruh.

“Matlamat kita bukanlah hapuskan peperiksaan sebaliknya memastikan wujudnya sistem lebih adil dengan mengambil kira kepelbagaian keperluan pelajar,” ujarnya.

Sebelum ini, seorang profesor Universiti UCSI, Tajudin Rasdi berkata, SPM sudah tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan ketika ini kerana adanya pendidikan latihan seperti TVET yang jauh lebih praktikal dalam merencanakan masa depan seseorang pelajar itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast